Showing posts with label BERITA. Show all posts
Showing posts with label BERITA. Show all posts

Friday, 28 December 2012

AIM diminta naikkan pinjaman kecil daripada RM50,000 kepada RM100,000

AIM diminta naik pinjaman peniaga kecil

Kuala Lumpur: Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) diminta menaikkan pinjaman kepada peniaga kecil daripada RM50,000 kepada RM100,000 bagi membantu mereka mengembangkan perniagaan masing-masing.

Ramli, yang juga Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia berkata, kerajaan BN sudah membantu lebih dua juta penjaja dan peniaga kecil di seluruh negara melalui beberapa pendekatan yang dilaksanakan seperti mengumumkan caj

Friday, 14 December 2012

Projek PWCC jadi mercu tanda Pulau Pinang

Projek Penang Waterfront Convention Centre (PWCC) jadi mercu tanda Pulau Pinang

Georgetown: Projek pembinaan Penang Waterfront Convention Centre (PWCC) bernilai RM346 juta akan menjadi mercu tanda penting dalam sektor perniagaan dan pelancongan sekali gus menggalakkan pertumbuhan ekonomi Pulau Pinang.

PWCC yang terletak kira-kira 20 minit dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) adalah sebahagian daripada Projek The Light fasa dua yang terdiri daripada PWCC, hotel, pusat beli belah tempatan dan antarabangsa, lot runcit dan kemudahan marin.

Ketua Eksekutif IJM Corporation (IJM) Bhd, Datuk Teh Kean Ming, berkata kerja pembinaan projek PWCC itu akan bermula tahun depan dan dijangka siap menjelang 2017.

Beliau berkata, PWCC ialah projek perkongsian antara IJM dengan Suntec International (Suntec) yang mana syarikat berkenaan mempunyai kepakaran dan pengalaman menguruskan pusat konvensyen.

“Perkongsian ini akan menyaksikan Suntec terbabit dalam urusan mereka bentuk, pemasaran dan pengurusan operasi PWCC," katanya.

Thursday, 29 November 2012

Proton Preve dan Exora Prime Dijual Di Thailand

PROTON lancar dua model baru di Thailand: Proton Preve dan Proton Exora Prime
Disediakan oleh Berita Harian


Perkukuh jenama dalam pasaran automotif

Bangkok: PROTON Holdings Bhd melancarkan dua model baru untuk pasaran Thailand, Preve dan Exora Prime bagi mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai antara 10 pengeluar kereta utama di negara itu.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Lukman Ibrahim, kedua-dua model berkenaan menetapkan tahap standard baru kenderaan PROTON merangkumi pelbagai aspek utama termasuk keselamatan, prestasi, keselesaan, kualiti binaan, rekaan dan penampilan keseluruhan.

Kami melihat pasaran Thailand sangat penting dan strategik untuk menguji kemampuan menjadi pengeluar kereta global yang kompetitif" - Lukman Ibrahim, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON Holdings

Beliau berkata, Thailand antara pasaran automotif berdaya saing menjadi medan ujian terbaik bagi PROTON dalam laluannya menjadi pengeluar kereta global yang terkemuka, dipercayai, digemari dan berdaya saing.

“Kami melihat pasaran Thailand sangat penting dan strategik untuk menguji kemampuan menjadi pengeluar kereta global yang kompetitif.

“Di sini (Thailand), kami perlu bersaing bukan saja daripada aspek kualiti malah khidmat selepas jualan,” katanya kepada media Malaysia selepas majlis pelancaran dua model itu di Expo Motor Antarabangsa Thailand 2012, di sini semalam.

Hadir sama, Duta Besar Malaysia di Bangkok, Datuk Nazirah Hussain dan Pengarah Urusan Phranakorn Auto Sales, Thawatchai Jungsanguanpornsuk.

Phranakorn Auto Sales adalah pengedar tunggal kereta PROTON di Thailand.

Sambutan menggalakkan

Mengulas lanjut, Lukman berkata, syarikat yakin kedua-dua model berkenaan akan mendapat sambutan menggalakkan warga Thailand, tambahan pula Exora sudah menjadi kereta pelbagai guna (MPV) enam tempat duduk paling popular sejak dilancarkan pada 2009, sementara Preve adalah kereta global yang dijual pada harga berpatutan.

“Berikutan sambutan hangat daripada pembeli Thailand terhadap Exora sebelum ini, kami yakin pelancaran varian terbaru, Exora Prime akan mengukuhkan lagi jenama PROTON dalam pasaran automotif Thailand.

“Pelancaran Preve pula akan terus membantu kami mengekalkan kedudukan sebagai antara 10 pengeluar kereta penumpang utama di negara ini,” katanya.

Bagi mengukuhkan jualan dan kehadiran di negara gajah putih itu, PROTON merancang meningkatkan jumlah rangkaian pengedar di Thailand kepada 35 tahun depan daripada 31 sekarang.

Tempahan sudah dibuka

Seiring dengan pelancaran itu, tempahan belian untuk model berkenaan sudah dibuka dan PROTON mengunjurkan jualan masing-masing 100 dan 120 unit sebulan bagi model Preve dan Exora Prime.

PROTON Preve di Thailand dijual bermula daripada THB625,000 (RM62,125) sementara Exora Prime pula pada THB919,000 (RM91,348).

Exora Prime adalah varian eksklusif MPV enam tempat duduk yang dilengkapkan dengan enjin 1.6 liter turbo yang menghasilkan kuasa sepadan kereta 2.0 liter.

Enjin berkuasa itu disepadukan pula dengan kotak gear automatik tujuh kelajuan CVT yang menterjemahkan pemanduan lancar, berkuasa tetapi menjimatkan minyak.

Sementara itu, mengulas mengenai prestasi jualan Preve dan Exora yang baru dilancarkan di Australia bulan lalu, Lukman berkata, setakat ini sambutan yang diterima di pasaran berkenaan sangat menggalakkan dan PROTON menyasar menjual 300 unit sebulan.

Serentak dengan itu, PROTON turut mengunjurkan jumlah eksport kenderaannya akan mencecah 14,000 unit tahun ini dan 20,000 unit tahun depan.

RHBCap muktamad beli bank PT Bank Mestika Dharma Indonesia Jun 2013

RHBCap muktamad beli bank PT Bank Mestika Dharma Indonesia Jun 2013
Disediakan oleh Berita Harian


RHB Capital Bhd (RHBCap) dijadual memuktamadkan pembelian 40 peratus kepentingan bank Indonesia, PT Bank Mestika Dharma pada Jun tahun depan.

Ia dibuat selepas rundingan pembelian pegangan ekuiti bank Indonesia itu berlanjutan selama tiga tahun.

Cadangan pembelian itu bermula sejak Oktober 2009, apabila RHBCap mengemukakan tawaran membeli 80 peratus kepentingan bank beribu pejabat di Medan itu dalam urus niaga bernilai RM1.16 bilion.

Urus niaga itu tertangguh beberapa kali dan peraturan baru di Indonesia pertengahan tahun ini mengehadkan pemilikan tunggal bank republik itu pada 40 peratus.

Bagaimanapun, RHBCap sedia meneruskan cadangan pembelian itu bagi membolehkannya mengukuhkan kedudukan di pasaran perbankan Asia Tenggara.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Kellee Kam, berkata kumpulan perbankan keempat terbesar tempatan itu kini dalam peringkat akhir rundingan dengan pihak berkuasa berkaitan serta vendor di republik berkenaan.

“Sasaran dalaman kami adalah pada Jun 2013, seperti yang digariskan dalam peraturan ditetapkan. Peringkat perbincangan semakin hampir (diselesaikan) yang membolehkan kami mengumumkan butiran lanjut sebelum akhir bulan ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis prapelancaran sambutan ulang tahun ke-100 RHB Banking Group di Kuala Lumpur, semalam.

Pelancaran disempurnakan Pengerusi RHB Bank, Tan Sri Azlan Zainol dan barisan kepemimpinan kanan Kumpulan RHB.

Dalam perkembangan berkaitan, Kam berkata, penyelesaian pengambilalihan OSK Investment Bank Group awal bulan ini, akan memberi kesan menyeluruh kepada operasi kumpulan dari segi penawaran produk serta asas geografi.

Beliau berkata, pengambilalihan OSK akan membolehkan syarikat itu menembusi tujuh daripada 10 pasaran ASEAN, di samping Hong Kong.

“Pembelian ini membantu kami membina platform yang benar-benar bersifat serantau, di samping menggandakan sumbangan pasaran luar negara kami kepada pendapatan daripada empat peratus sekarang kepada kira-kira lapan peratus.

“Ini bertepatan sasaran kumpulan meningkatkan sumbangan pendapatan luar negara kepada 40 peratus pada 2020,” katanya sambil menjelaskan pembelian OSK menjadikannya bank pelaburan terbesar negara ini berdasarkan nilai aset.

RHB, yang akan menyambut ulang tahun ke-100 pada 15 Julai 2013 melancarkan beberapa siri acara dan aktiviti sepanjang tahun bagi meraikan penubuhan jubli intannya itu.

Sejarah kumpulan perbankan itu bermula pada 15 Julai 1913 menerusi penubuhan The Kwong Yik Banking Corporation Ltd, iaitu bank tempatan pertama negara ini yang ditubuhkan sekumpulan komuniti Cina diterajui Wong Loke Yew.

KL Eco City raih jualan RM2.5b

KL Eco City (SP Setia) Cecah Jualan RM2.5 Bilion
Disediakan oleh Berita Harian


KL Eco City, projek hartanah yang dimajukan oleh SP Setia Bhd mendapat sambutan memberangsangkan apabila meraih jualan fasa pertamanya mencecah RM2.5 bilion.

Nilai berkenaan dicatat dalam tempoh hanya setahun selepas ia dilancarkan.

Projek pembangunan hartanah hijau bersepadu pertama di Kuala Lumpur dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM6 bilion itu dimajukan dalam empat fasa yang dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh 10 tahun lagi.

Ia dimajukan di kawasan seluas 9.6 hektar di bekas penempatan Kampung Abdullah Hukum sepanjang Jalan Bangsar yang bertentangan dengan pusat beli-belah Mid Valley City.

Fasa pertama terdiri daripada pembangunan lot kondominium, pejabat strata dan pejabat butik dilengkapi dengan menara kediaman yang menjadi mercu tanda kawasan itu, dikenali sebagai Vogue Suites One.

Presiden dan Ketua Eksekutif SP Setia, Tan Sri Liew Kee Sin, berkata 90 peratus unit lot kondominium dalam fasa pertama KL Eco City dijual dalam tempoh setahun selepas pelancaran projek itu.

Sementara itu, katanya lot pejabat strata habis dijual manakala lapan daripada 12 unit pejabat butik kepada pembeli berjaya dijual.

“Pembeli adalah dari dalam dan luar negara, namun nisbah pembeli tempatan melebihi pembeli asing,” katanya kepada media selepas melancarkan pejabat jualan antarabangsa SP Setia dikenali sebagai Pusat Antarabangsa Setia (SIC) di tapak pemba-ngunan KL Eco City, di Kuala Lumpur, semalam.

SIC akan menjadi galeri hartanah antarabangsa sehenti SP Setia yang mempamerkan barisan projek yang dibangunkannya di dalam dan luar negara kepada pembeli tempatan dan asing.

Pusat itu juga menjadi satu-satunya galeri hartanah SP Setia yang mempamerkan projek pembangunan mega bercampur syarikat itu di London, Battersea Power Station.

Pelancarannya disempurnakan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Yang hadir sama ialah Pengerusi SP Setia, Tun Zaki Azmi.

Bursa Malaysia ditutup tinggi

Ulasan Pasaran: Bursa Malaysia ditutup tinggi
Disediakan oleh Berita Harian


Saham telco, perbankan dorong FBM KLCI naik 8.35 mata

Harga saham di Bursa Malaysia ditutup tinggi semalam yang didahului oleh saham telco dan saham perbankan utama berwajaran tinggi, kata seorang peniaga.

Sehingga jam 5.30 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 8.35 mata kepada 1,606.52, selepas dibuka turun 5.34 mata kepada 1,592.83.

Indeks pengukur pasaran itu bergerak antara 1,590.67 dan 1,607.22 semasa dagangan hari ini.

Ketua Penyelidik Mercury Securities Edmund Tham berkata para pelabur menjangka keputusan kewangan telco yang baik yang akan mengumumkan keputusan sukuan masing-masing tidak lama lagi.

Axiata meningkat 25 sen kepada RM5.87, Maxis dan Telekom Malaysia naik 13 sen setiap satu masing-masing kepada RM6.50 dan RM5.50 dan Digi menambah 20 sen kepada RM4.75.

Edmund berkata pasaran di dominasi oleh dana institusi tempatan di tengah-tengah kurang penyertaan dari para pelabur runcit.

"Dana tempatan menguasai 50-60 peratus daripada transaksi hari ini," katanya kepada Bernama.

Kaunter rugi mengatasi sedikit kaunter untung sebanyak 358 kepada 343 manakala 333 kaunter tidak berubah, 630 tidak diniagakan dan 45 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 1.2 bilion saham bernilai RM1.93 bilion berbanding 1.14 bilion saham bernilai RM1.67 bilion yang dicatatkan kelmarin.

Indeks Kewangan meningkat 45.17 mata kepada 14,932.11 dan Indeks Perladangan meningkat 69.53 mata kepada 7,936.75 manakala Indeks Perusahaan turun 37.46 mata kepada 2,643.84.

Indeks FBM Ace turun 1.62 mata kepada 4,190.38 manakala Indeks FBM Emas mengukuh 51.54 mata kepada 10,943.33 dan Indeks FBMT100 mengukuh 52.4 mata kepada 10,790.28. Indeks FBM Mid 70 meningkat 40.85 mata kepada 11,963.67.

Di kalangan kaunter aktif, Malaysia Airlines turun 17 sen kepada 84 sen, Hiap Huat rugi 2.0 sen kepada 20 sen dan Tiger Synergy menambah 5.5 sen kepada 38.5 sen manakala SAAG dan Scomi-WA tidak berubah masing-masing pada harga 0.5 sen setiap satu.

Bagi saham berwajaran tinggi, Maybank menambah 2.0 sen kepada RM9.04, CIMB meningkat 4.0 sen kepada RM7.54 dan Public Bank meningkat 6.0 sen kepada RM15.44.

Sime Darby turun 25 sen kepada RM9 dan Petronas Chemicals turun 9.0 sen kepada RM6.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 963.26 juta saham bernilai RM1.9 bilion berbanding 863.48 juta saham bernilai RM1.63 bilion pada Selasa.

Perolehan di Pasaran ACE turun kepada 124.82 juta saham bernilai RM21.86 juta daripada 202.97 juta saham bernilai RM34.11 juta sebelum ini.

Waran meningkat kepada 117.53 juta unit bernilai RM52.35 juta daripada 55.70 juta unit bernilai RM3.21 juta. - BERNAMA

Tuesday, 27 November 2012

Program Transformasi Ekonomi (ETP) bantu pacu ekonomi negara

Program Transformasi Ekonomi (ETP)bantu pacu ekonomi negara
Disediakan oleh Berita Harian


Status negara maju boleh dicapai menjelang 2020

Kuala Lumpur: Malaysia berada pada landasan betul untuk mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020 berdasarkan momentum pertumbuhan ekonomi yang dicapai sejak pelaksanaan Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Unit Pengurusan dan Penyampaian Prestasi (PEMANDU), iaitu agensi yang dipertanggungjawabkan kerajaan bagi mengurus dan memantau pelaksanaan ETP berkata, sejak dilancarkan pada 25 Oktober 2010, program khas itu banyak membantu menambah baik prestasi ekonomi negara.

Pelaburan ini dijangkakan menjana Pendapatan Negara Kasar (PNK) sebanyak RM137.6 bilion pada 2020 dan mewujudkan 410,892 pekerjaan," Idris Jala, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ketua Eksekutif PEMANDU

Ia termasuk memandu negara mencatat rekod pelaburan swasta tertinggi dalam tempoh 10 tahun, selain membantu menyediakan persekitaran kondusif untuk pasaran saham tempatan hingga membolehkan Indeks Komposit FTSE Bursa Malaysia Kuala Lumpur (FBM KLCI) melonjak ke paras rekod tertinggi dalam sejarah iaitu 1,675.69 mata pada 1 November lalu.

Sepanjang tempoh itu juga, PEMANDU berkata, ETP turut membantu kerajaan mencatatkan pungutan hasil paling tinggi dalam sejarah iaitu RM185 bilion pada tahun lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ketua Eksekutif PEMANDU, Datuk Seri Idris Jala berkata, peningkatan prestasi ekonomi dan pungutan hasil yang memberangsangkan itu membolehkan kerajaan melaksanakan pelbagai program, termasuk pemberian BRIM1 dan BRIM2 kepada golongan yang memerlukan.

131 projek permulaan

“Apabila ETP pertama kali dilancarkan, terdapat 131 projek permulaan (EPP). Sehingga hari ini, kita sudah mencatatkan sejumlah 152 EPP dan daripada jumlah itu, 149 projek sudah diumumkan dengan pelaburan komited berjumlah RM212 bilion.

“Pelaburan ini dijangka menjana Pendapatan Negara Kasar (PNK) sebanyak RM137.6 bilion pada 2020 dan mewujudkan 410,892 pekerjaan,” katanya pada taklimat mengenai kemajuan ETP yang genap dua tahun pelaksanaannya di Kuala Lumpur, semalam.

Daripada 152 EPP itu, sejumlah 93 peratus sudahpun dilaksanakan, dengan 36 peratus sudah beroperasi.

Pelbagai penambahbaikan

Idris berkata, sepanjang tempoh dua tahun pelaksanaan ETP, pelbagai penambahbaikan dilakukan, khususnya membabitkan aspek pelaburan swasta, domestik serta asing yang mencapai paras rekod tertinggi bagi tempoh 10 tahun pada tahun lalu.

“Sehingga September lalu, pelaburan swasta meningkat 25.5 peratus daripada suku sama tahun lalu kepada rekod baru sebanyak RM112.2 bilion,” katanya.

ETP, iaitu rangka hala tuju khas untuk mencapai matlamat Model Ekonomi Baru (MEB) adalah usaha menyeluruh untuk melengkapkan Malaysia menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Matlamat itu disasarkan dicapai dengan memberikan penekanan kepada 12 bidang utama ekonomi negara (NKEA) bermula dengan sektor minyak dan gas; tenaga; sawit, perkhidmatan kewangan; pemborongan dan peruncit; pelancongan; perkhidmatan perniagaan; elektrikal dan elektronik; kesihatan; kandungan dan infrastruktur komunikasi; pendidikan; pertanian; dan Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang.

Melalui NKEA, 131 EPP disasarkan untuk menerajui pembangunan ekonomi negara, sekali gus mencapai status negara berpendapatan tinggi dengan pendapatan perkapita sebanyak AS$15,000 setahun, iaitu tahap minimum bagi mencapai status negara maju berdasarkan definisi Bank Dunia, dan menjana 3.3 juta peluang pekerjaan menjelang 2020.

Pada 2009, pendapatan perkapita rakyat Malaysia ialah AS$6,700 (RM20,500) setahun, sebelum meningkat lebih daripada AS$9,700 (RM29,600) setahun, setakat tahun lalu.

Idris berkata, jika program ETP dilaksanakan dengan betul hingga membantu ekonomi dan pendapatan perkapita rakyat terus berkembang pada kadar yang sama, negara mungkin dapat mencapai ekonomi berpendapatan tinggi lebih awal daripada 2020.

“Apabila sasaran Indeks Prestasi Utama (KPI) bagi ETP berjaya dicapai hingga membolehkan program itu dilaksanakan dengan lancar, ekonomi (KDNK dan pendapatan negara kasar atau PNK) akan berkembang dan seterusnya membawa kepada pungutan hasil kerajaan yang lebih tinggi.

“Hasil ini akan membantu mengurangkan defisit fiskal kita, melabur untuk pertumbuhan selanjutnya dan membuat perbelanjaan di mana ia mendapat permintaan rakyat,” katanya sambil menambah laporan tahunan ETP dan Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang menyediakan semua butiran pencapaian dan kegagalannya akan diumumkan pada suku pertama tahun depan.

Sime Darby Mahu Wujud Usaha Sama Kembang Operasi Hospital Di Asia

Sime Darby Berunding Dengan Pengendali Hospital di Asia - Mahu Wujud Usaha Sama Kembang Operasi Hospital
Disediakan oleh Berita Harian

Sime Darby Bhd sedang berunding dengan beberapa pengendali hospital di Asia bagi cadangan mewujudkan usaha sama untuk mengembangkan segmen perniagaan itu di Asia Pasifik.

Presiden dan Ketua Eksekutifnya, Datuk Mohd Bakke, berkata ia adalah sebahagian rancangan strategik jangka panjang kumpulan itu bagi membolehkan pembabitannya dalam segmen perniagaan berkenaan berkembang secara lebih efektif dengan jangkauan geografi lebih meluas.

“Ideanya ialah berganding dengan penyedia penjagaan kesihatan lain di rantau ini bagi tujuan mengembangkan perniagaan segmen itu dengan sasaran jangka sederhana ialah di Asia Tenggara dan sasaran jangka panjang di rantau Asia Pasifik,” katanya pada sidang media mengumumkan prestasi suku kewangan pertama konglomerat itu di Kuala Lumpur, semalam.

Mohd Bakke berkata, pihaknya lebih gemar menjalin pakatan dengan syarikat yang memiliki hospitalnya sendiri kerana ia lebih menjimatkan.

Kos bagi membina hospital baru, katanya akan menelan belanja yang besar iaitu sekitar RM300 juta.

Beliau berkata, rundingan dengan rakan kongsi berpotensi itu sedang rancak berlangsung tetapi belum ada sesuatu yang kukuh dicapai buat masa ini.

“Kami berharap dapat memuktamadkan dalam tempoh terdekat ini,” katanya.

Shell, PETRONAS bekerjasama

Shell, PETRONAS bekerjasama
Disediakan oleh Berita Harian


Shell Malaysia memeterai kontrak perkongsian pengeluaran baharu (PSC) dengan PETRONAS untuk meneroka lapangan luar pantai minyak dan gas Sarawak.

Syarikat minyak antarabangsa itu dalam kenyataannya semalam, berkata SK319 PSC akan menyaksikan Shell melaksanakan program cari gari awal selama tiga tahun bagi meneroka dengan menyeluruh kawasan seluas 2,727 kilometer persegi dalam blok SK319 di Central Luconia, luar pantai Sarawak.

Sarawak Shell Bhd adalah pengendali dan akan menjadi rakan kongsi Petronas Carigali dengan pecahan ekuiti penyertaan 50:50, katanya.

PSC baharu itu membentuk sebahagian daripada fokus cari gali dan pembangunan kos rendah Shell yang akan membolehkan syarikat itu melaksanakan kempen cari gali pelbagai telaga.

Pengerusi Shell Malaysia dan Pengarah Urusan Sarawak Shell, Iain Lo, berkata kejayaan pelaksanaan PSC baharu itu dan perjanjian operasi bersama menandakan satu lagi kejayaan penting bagi Shell di Malaysia selepas memeterai kontrak cari gali SK318 dan 2B bagi luar pantai Sarawak awal tahun ini.

“Ini adalah PSC operasi cari gali ketiga yang dimeterai Shell Malaysia pada 2012 ini dan menambah kepada bilangan cari gali Shell yang semakin bertambah di Malaysia,” katanya.

Sebagai pengendali PSC kepada PETRONAS, Shell adalah pengeluar gas terbesar di Malaysia, menyumbang 60 peratus daripada jumlah pengeluaran.

Sidang Arlington bincang kehebatan aeroangkasa Malaysia

Sidang Arlington bincang kehebatan aeroangkasa Malaysia

New York: Satu perbincangan meja bulat, yang diadakan di Arlington, Virginia bermatlamat menggariskan kehebatan sektor aeroangkasa Malaysia.

Perbincangan yang diadakan hari ini akan menonjolkan kepada syarikat AS bahawa mereka mempunyai rakan yang boleh dipercayai di Malaysia dari segi keupayaan sebagai penyedia produk dan perkhidmatan canggih dalam perniagaan itu.

Perbincangan itu, anjuran Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) yang berpejabat di sini, akan turut mengetengahkan kepada pelabur AS yang berpotensi peluang yang tersedia di Malaysia dalam sektor aeroangkasa.

Tonjol potensi

Pengarah MIDA New York, Arham Abdul Rahman, berkata sejajar peralihan ekonomi Malaysia kepada pengeluaran bernilai tinggi daripada pembuatan berintensif buruh, adalah penting negara menonjolkan potensinya sebagai pembekal dan penyedia perkhidmatan dalam bidang bukan konvensional.

Aeroangkasa adalah sektor utama yang mana Malaysia boleh menonjolkan diri sebagai pembekal perkhidmatan utama, termasuk reka bentuk yang sangat kompleks bagi pesawat canggih yang dijangka tiba di dalam pasaran pada masa depan.

Pakar berpendapat, aeroangkasa boleh mengubah teras eksport Malaysia ke dalam ekonomi global yang semakin bercirikan bukan saja persaingan sengit malah ketidaktentuan dan krisis.

Sebuah syarikat Malaysia, Strand Aerospace Sdn Bhd, berpangkalan di Cyberjaya, mendapat satu urus niaga sebagai pembekal tingkat pertama kepada Airbus Industrie di Jerman. - BERNAMA

MAHB bina Mitsui Outlet Park KLIA

Malaysia Airports Bhd (MAHB) akan membina Mitsui Outlet Park KLIA, pusat beli-belah yang menempatkan pelbagai kedai barangan berjenama premium dunia terus dari kilang seluas 20 hektar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pusat beli-belah yang menyediakan kawasan boleh disewa sekitar 47,000 meter persegi itu akan dimajukannya dengan kerjasama Mitsui Fudosan Co Ltd dari Jepun.

Apabila siap sepenuhnya pada 2014 itu, ia bakal menjadi yang terbesar dalam rangkaian pusat beli-belah Mitsui.

Mitsui Outlet Park KLIA akan menawarkan pilihan meluas jenama terkemuka termasuk jenama mewah, kedai popular terpilih, fesyen Asia berkualiti tinggi, barangan sukan, aksesori fesyen dan cenderahati pada harga yang dijamin di bawah harga runcit dicadangkan.

Lebih 20 jenama pereka terkemuka antarabangsa akan dijemput berdasarkan kehadiran mereka dalam Mitsui Outlet Park di Jepun dan China, kata MAHB dalam satu kenyataan semalam.

Syarikat pengendali lapangan terbang itu berkata, memorandum persefahaman (MoU) bagi kerjasama membangunkan taman beli-belah premium itu dimeterainya dengan Mitsui Fudosan semalam.

Pada majlis itu MAHB diwakili Pengurus Besar Kanannya, Muhamad Khair Mirza, manakala Mitsui Fudosan oleh Pegawai Pengurusannya, Masatoshi Satao. Ia disaksikan Pengarah Urusan MAB, Tan Sri Bashir Ahmad.

MAHB berkata, taman beli -belah itu akan dimajukan siap dengan kemudahan restoran dan hiburan berikutan komponen sokongannya disandarkan kepada tema daya tarikan Knowledge and Attractions, Prime Time Complex dan World Food Expo.

Mitsui Outlet Park KLIA, iaitu cawangan ke-14 bagi Mitsui dan yang pertama di Asia Tenggara akan dibangunkan dalam tiga fasa pada kos pembangunan kasar dianggarkan sekitar RM335 juta, katanya.

Pembangunan fasa pertama dijangka bermula pada suku pertama tahun depan dan dijangkakan dibuka kepada umum akhir 2014.

Sebagai tambahan kepada jenama popular Eropah dan Amerika, taman beli belah itu juga akan menawarkan fesyen terkemuka Asia dari Jepun, Korea Selatan, Hong Kong dan Malaysia, sekali gus membezakannya daripada pusat peruncitan lain di Malaysia berdasarkan kepelbagaian jenama, katanya.

Sementara itu, Bashir dalam kenyataan berkenaan berkata, satu daripada manfaat penting daripada projek itu ialah peluang bagi MAHB mengembangkan asas perniagaan bukan aeronautikal, sejajar hala tuju perniagaan 2010-2014 syarikat itu yang mana pembangunan komersial dijangka menjadi pemacu utama pertumbuhan pendapatan dan keuntungannya.

Peluang ini bertujuan menjadi pemangkin bagi pembangunan KLIA Aeropolis dan akan merangsang keyakinan pelabur dan pemaju dalam potensi komersial tanah di KLIA. katanya.

Mitsui Fudosan ialah pemaju hartanah utama di Jepun yang ditubuhkan sejak 1941 dengan operasi global di Amerika Syarikat (AS), United Kingdom, Singapura dan China. Antara aktiviti utamanya ialah membangunkan pusat beli belah, hotel dan kompleks pejabat.

Syarikat itu kini memiliki 13 pusat belah, 12 di Jepun dan sebuah di China, dengan cawangan pertamanya di Osaka, yang dibuka pada 1995.m

PNB mahu buka bidaan jual syarikat kepada Syarikat Bumiputera

Firma bukan teras akan dijual kepada Bumiputera

Permodalan Nasional Bhd (PNB) akan membuka bidaan bagi penjualan sebuah lagi syarikat bukan terasnya kepada syarikat Bumiputera yang layak selewat-lewatnya akhir bulan depan.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman, berkata syarikat itu agak besar saiznya jika dibandingkan dengan empat syarikat bukan teras yang diumumkan penjualannya oleh PNB sebelum ini.

Beliau berkata, ia adalah sebuah syarikat di bawah sebuah syarikat senaraian awam yang dikuasai PNB.

“Kami menjangkakan akan mengumumkan penjualan sebuah lagi syarikat bukan teras kepada Bumiputera yang layak sebelum akhir tahun ini. Syarikat itu agak besar, justeru proses kelulusannya mengambil masa,” katanya pada sidang media selepas majlis pengumuman pengagihan pendapatan Amanah Saham Nasional 3 Imbang (ASN 3) di Kuala Lumpur semalam.

PNB sebelum ini membuka bidaan bagi menjual empat syarikat bukan terasnya, iaitu U-Insurance Sdn Bhd, U-Travelwide Sdn Bhd (U-Travel), Inobel Sdn Bhd dan FEC Cables (M) Sdn Bhd (FEC) kepada Bumiputera yang layak.

Lupus pegangan

Ia susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa PNB dan Khazanah Nasional akan melupuskan pegangan dalam 10 syarikat yang bukan perniagaan teras masing-masing untuk meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam sektor korporat.

Hamad Kama Piah juga berkata, PNB akan membuka semula bidaan bagi penjualan FEC Cables kerana pembina yang mengemukakan bidaan tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan panel pemilih untuk mengambilalih syarikat itu.

Mercu tanda

Mengenai perkembangan terkini projek pembangunan Menara Warisan Merdeka, Hamad Kama Piah berkata pihaknya sedang memenuhi syarat dalam perintah pembangunan (DO) pembangunan menara mercu tanda itu yang ditetapkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Beliau berkata, pihaknya memperuntukkan 20 tingkat daripada menara ikonik 100 tingkat itu untuk hotel dan 80 tingkat untuk ruang pejabat.

Mengenai kos pembinaan Menara Warisan Merdeka, Hamad Kama Piah, berkata setakat ini anggaran kosnya adalah sekitar RM5 bilion.

Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan akan meningkat berikutan peningkatan harga bahan binaan.

Cadangan pembangunan Menara Warisan Merdeka di kawasan berdekatan Stadium Merdeka dan Stadium Negara itu diumumkan Perdana Menteri ketika pembentangan Bajet 2010.

Mengikut perancangannya, ia bakal dimajukan dalam tiga fasa dan dijangkakan siap pada 2015.

ASNB umum pengagihan pendapatan ASN3 6.3 sen seunit

Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) mengumumkan pengagihan pendapatan 6.3 sen seunit bagi Amanah Saham Nasional 3 Imbang (ASN3) untuk tahun kewangan berakhir 30 November 2012.

Ia adalah peningkatan 0.3 sen seunit berbanding enam sen seunit yang dibayar tahun kewangan sebelumnya.

Pengerusi Permodalan Nasional Bhd (PNB), Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, berkata pengagihan pendapatan itu membabitkan pembayaran berjumlah RM8.11 juta yang akan dimanfaatkan 11,652 pelabur yang melanggan 128.81 juta unit dana saham amanah itu.

Beliau berkata, kadar pengagihan pendapatan itu adalah berdaya saing jika dibandingkan dengan instrumen pelaburan lain terutama dalam suasana ekonomi yang masih dalam proses pemulihan ketika ini.

Alami peningkatan

Katanya, meskipun pasaran global mengalami penurunan pada awalnya akibat penurunan penarafan kredit Amerika Syarikat (AS) dan krisis hutang zon euro, indeks utama pasaran saham Asia mengalami peningkatan disokong usaha Bank Pusat Eropah untuk menyelesaikan krisis hutang serta program pengurangan kuantitatif yang dilaksanakan AS yang membantu meningkatkan keyakinan pelabur asing terhadap pasaran saham yang bersifat bertahan.

“Sebagai sebuah tabung imbang, portfolio ASN 3 diimbangkan di antara instrumen pelaburan berpendapatan tetap, ekuiti yang disenaraikan di Bursa Malaysia dan instrumen pelaburan lain. Justeru, pelabur boleh membuat perbandingan jumlah pulangan keseluruhan dan hasil pendapatan ASN3 dengan instrumen pelaburan yang mempunyai tahap risiko yang lebih kurang sama,” katanya pada sidang media mengumumkan pengagihan pendapatan itu di Kuala Lumpur, semalam.

Yang turut hadir, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

Pendapatan kasar RM10.74j

Setakat 19 November 2012, ASN 3 meraih pendapatan kasar RM10.74 juta dengan pendapatan daripada dividen menyumbang RM4.11 juta atau 38.27 peratus manakala keuntungan daripada penjualan saham dalam syarikat sebanyak RM4.09 juta atau 38.08 peratus.

Sebanyak RM2.54 juta atau 23.65 peratus pula diraih daripada pelaburan dalam instrumen jangka pendek dan pendapatan lain.

Pengiraan pengagihan pendapatan itu adalah berdasarkan pegangan unit pada 30 November 2012 yang akan dilaburkan semula dalam bentuk unit secara automatik ke dalam akaun pelabur berdasarkan nilai aset bersih pada hari yang sama.

Industri halal mampu melonjak di rantau IMTGT

Kangar: Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu, yakin industri halal bakal melonjak di rantau pertumbuhan segi tiga Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) berikutan minat penduduk rantau itu terhadap produk halal.

Katanya, pertumbuhan beberapa pusat halal akan menyemarakkan industri halal yang semakin berkembang.

Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Pusat Halal Majlis Amanah Rakyat (MARA) di Kawasan Industri MARA (KIM) Kuala Perlis, Md Isa berharap usahawan Bumiputera mengambil kesempatan terhadap permintaan produk halal dengan berusaha menembusi pasaran antarabangsa.

Beliau berkata, walaupun kejayaan menembusi pasaran antarabangsa adalah satu pencapaian, keadaan itu akan lebih bermakna jika mereka menguasai pasaran.

Md Isa berkata, Pusat Halal MARA Kuala Perlis juga akan turut menjadi pemangkin industri kawasan Kuala Perlis yang bakal menjadi bandar maritim.

Pelaksanaan pusat halal itu adalah hasil kerjasama Perbadanan Pembangunan Halal (HDC) dengan MARA yang sudah lama terjalin.

Dagangan negara diunjur kekal di atas RM1 trilion

Dagangan negara diunjur kekal di atas RM1 trilion
Berita Harian


Jumlah perdagangan negara diunjurkan kekal di atas RM1 trilion tahun ini, paras yang dinikmati negara sejak 2006, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Mukhriz Mahathir.

Beliau berkata, keyakinan itu berdasarkan angka perdagangan yang masih memberangsangkan sungguhpun pada suku ketiga 2012 menampakkan sedikit penurunan.

Jelasnya, penurunan pada suku ketiga bukanlah sesuatu yang mencerminkan arah aliran semasa kerana turun naik jumlah perdagangan dalam satu-satu suku itu adalah kebiasaan.

Kita tidak perlu bimbang jika berlaku penurunan dalam satu-satu suku itu kerana ia bukan mencerminkan arah aliran semasa," Mukhriz Mahathir, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri

“Kita tidak perlu bimbang jika berlaku penurunan dalam satu-satu suku itu kerana ia bukan mencerminkan arah aliran semasa.

“Jika kejatuhan berlaku dalam tiga atau empat suku barulah ia dianggap sebagai satu arah aliran,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Peniaga Muda Asia Pasifik 2012 (APYBC 2012) di Kuala Lumpur, semalam. Hadir sama, Presiden Pertubuhan Usahawan Muda Malaysia (GMB), Agil Faisal Ahmad Fadzil.

Mukhriz berkata, berikutan pasaran perdagangan tradisi Malaysia berkemungkinan berdepan masalah disebabkan persekitaran ekonomi global semasa yang tidak kondusif, pendekatan diambil negara ialah meneroka pasaran baru seperti Asia Barat dan ASEAN sendiri, sekali gus membantu mengimbangi penurunan.

Beliau berkata, Malaysia mencatat jumlah perdagangan melepasi paras RM1 trilion sejak 2006 dan hanya setahun iaitu pada 2009 yang mana jumlahnya di bawah paras RM1 trilion, iaitu sebanyak RM980 bilion.

“Saya optimistik bahawa jumlah perdagangan negara akan terus berada pada tahap yang telah kita capai sejak 2006, iaitu mencecah RM1 trilion.

“Pada 2011 kita mencatatkan jumlah perdagangan bernilai RM1.26 trilion, dan bagi tahun ini kita yakin sasaran RM1 trilion itu akan terus di lewati. Kita menuju ke arah itu,” katanya.

Jumlah perdagangan negara bagi Ogos tahun ini jatuh kepada RM104.84 bilion berbanding RM106.17 bilion bulan sama tahun sebelumnya.

Perangkaan dikeluarkan Jabatan Perangkaan Negara menunjukkan imbangan perdagangan negara bagi September 2012 susut kepada RM6.470 trilion (RM6,470.66 bilion) berbanding RM7.089 trilion (RM7,088.78 bilion) pada Ogos 2012.

Berdasarkan rekod sebelum ini dari 1970 hingga 2012, purata imbangan perdagangan Malaysia ialah sebanyak RM2.768 trilion (RM2,768.69 bilion) mencapai paras tertinggi RM1.576 trilion (RM1,5767.47 bilion) pada Mei 2008 dan terendah pada -RM2.88 trilion (-RM2,880.61 bilion) pada Jun 1997.

Imbangan perdagangan adalah perbezaan dalam nilai monetari antara eksport dan import untuk tempoh tertentu.

Peluang besar bagi firma Malaysia majukan Algeria

Peluang besar bagi firma Malaysia majukan Algeria

Kuala Lumpur: Syarikat pembinaan dan kejuruteraan Malaysia wajar meneroka pelbagai peluang perniagaan yang ada di Algeria kerana negara itu akan memulakan projek pembangunan prasarana besar-besaran dalam beberapa tahun akan datang.

Duta Algeria ke Malaysia, Abdel Malek Bouheddou, berkata antara projek berkenaan termasuk pembinaan satu daripada lebuh raya terpanjang di dunia, iaitu Lebuh Raya Timur Barat, yang meliputi jarak sejauh 1,300 kilometer untuk menghubungkan negara itu dengan Maghribi di barat dan Tunisia di timur.

Beliau berkata, rancangan sedang disusun untuk menambah baik Lebuh Raya Trans-Sahara yang merentangi bahagian selatan Algeria dan satu lagi lebuh raya yang menghubungkan kawasan utara dengan kawasan selatan negara itu.

"Kerajaan Algeria akan membelanjakan berbilion-bilion dolar bagi prasarana, terutama jalan raya dan lebuh raya, dan di sinilah syarikat Malaysia boleh bersaing dengan syarikat lain," katanya di sini, semalam.

Selain prasarana, Bouheddou berkata, Algeria ingin mengadakan kerjasama perniagaan dan pemindahan teknologi dalam projek pembangunan bernilai kira-kira AS$286 bilion dalam beberapa tahun akan datang, untuk meningkatkan ekonomi domestik dan menceburi bidang lain supaya tidak terlalu bergantung kepada minyak dan gas.

Bawa penambahbaikan

Beliau mengakui bahawa sumber minyak dan gas negara itu sudah membawa penambahbaikan kepada Algeria, negara dengan 37 juta penduduk, dan itulah sebabnya kerajaan mahu meningkatkan pembangunan dalam industri automotif, pelancongan, pertanian, kewangan serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Sektor minyak dan gas adalah tulang belakang ekonomi Algeria dan menyumbang kira-kira 260 peratus pendapatan belanjawan.

Algeria mencatat lebihan belanjawan sebanyak AS$26.93 bilion, iaitu peningkatan mendadak sebanyak 62.46 peratus berbanding lebihannya pada 2010. Negara itu juga mengeksport komoditi bernilai AS$73.39 bilion pada 2011, dan pada masa yang sama mengimport komoditi bernilai AS$46.45 bilion.

Kumpul simpanan besar

Bouheddou berkata, hutang luar negara Algeria hampir dapat dihapuskan dan kerajaan sudah mengumpul simpanan besar melalui dana penstabilan minyaknya (FRR).

"Kami inginkan kerjasama perniagaan dan pemindahan teknologi, bukan pelaburan modal, agar wujud pekerjaan bagi rakyat kami," katanya, sambil menambah kadar pengangguran semasa ialah sekitar 10 peratus.

Algeria mengimport banyak kenderaan bermotor dan Renault dari Perancis akan membina sebuah kilang pemasangan di negara itu tidak lama lagi. - BERNAMA

Petronas Temui 2 Telaga Gas di Sarawak

PETRONAS temui 2 telaga besar gas: Lapangan miliki 4.4 trilion kaki padu hidrokarbon
Sumber:  Berita Harian

PETRONAS membuat dua penemuan besar gas di lapangan Kuang North dan TukauTimur yang terletak di luar pesisir Sarawak, membabitkan simpanan berjumlah 4.4 trilion kaki padu bersih hidrokarbon.

Syarikat minyak dan gas nasional itu dalam kenyataannya semalam berkata, bagi Lapangan Kuang North yang terletak di Blok SK 316, ia digali bulan lalu melalui dua telaga penerokaan iaitu Kuang North-1 dan Kuang North-2.

Katanya, telaga Kuang North-2, yang digali sedalam 3,223 meter itu telah menembusi kolum gas sepanjang 636 meter.

Gas di Norh Kuang 2.3 trilion

“Penilaian awal memberikan petunjuk bahawa gas yang terdapat di lapangan minyak Kuang North ialah sekitar 2.3 trilion kaki padu bersih hidrokarbon,” katanya.

PETRONAS berkata, antara penemuan penting lain di Blok SK 316 baru-baru ini ialah lapangan gas Kasawari dan NC8.

Jelasnya, berbeza dengan penemuan gas karbonat sebelum ini, gas di lapangan Kuang North itu ditemui di bahagian karbonat lama.

“Ia sekali gus membuka peluang penerokaan baru dengan potensi hidrokarbon yang besar di simpanan karbonat lama di luar pesisir Sarawak,” katanya.

Syarikat minyak dan gas nasional itu berkata, bagi TukauTimur Deep-1 pula, ia adalah telaga suhu tinggi tekanan tinggi (HPHT) pertama yang disiapkan di Sarawak serta telaga menegak paling dalam pernah digali oleh PETRONAS.

12 alas simpanan gas

Katanya, telaga itu digali sedalam 4,830 meter dan telah menemui 12 alas simpanan gas dengan pasir gas bersih berjumlah 183 meter.

“Penilaian awal menunjukkan jumlah gas yang terdapat di lapangan TukauTimur ialah sekitar 2.1 trilion kaki padu,” katanya.

PETRONAS berkata, kerja selanjutnya akan dimulakan untuk membuat anggaran lingkungan jumlah sumber yang boleh ditemui semula.

TukauTimur Deep-1 yang terletak di Blok SK307 dikendalikan oleh PETRONAS Carigali bersama rakan kongsinya, Sarawak Shell Bhd.

PETRONAS Carigali menguasai 50 peratus kepentingan telaga berkenaan manakala Sarawak Shell menguasai separuh lagi. Telaga itu digali pada Mei lalu dan siap bulan ini.

Pelabur emas mesti ikut nasihat pakar

Pelabur emas mesti ikut nasihat pakar emas

Kuala Lumpur: Public Gold Group Sdn Bhd yang menyasar disenaraikan di Bursa Malaysia menjelang 2014, mengingatkan pelabur emas membuat pelaburan berasaskan maklumat supaya tidak terperangkap dengan skim pelaburan palsu.

Syarikat penempa, penulen dan dagangan jongkong emas serta perak itu berharap orang ramai dan pembeli emas tahu logam itu sebenarnya lebih terarah sebagai instrumen pelindung nilai daripada inflasi, justeru bukannya kelas aset pemberi pulangan.

Sehubungan itu, pelabur dan orang ramai yang mahu membeli emas sebagai alat pelindung nilai perlu mendapat maklumat menyeluruh daripada pihak yang pakar dalam bidang itu sebelum membuat keputusan pembelian.

Pengerusi Eksekutif Public Gold Group, Datuk Louis Ng, berkata ramai pembeli terperangkap dengan modus operandi sesetengah pihak tidak bertanggungjawab yang menawarkan pulangan segera tidak munasabah daripada pembelian emas.

Syarikat skim pelaburan emas menjual emas jauh lebih tinggi daripada harga pasaran sebenar di samping menjanjikan peratus pulangan tertentu setiap bulan.

Kumpulan itu juga biasanya menetapkan harga dan tempoh belian balik tertentu mengikut kontrak, di samping beroperasi menggunakan model Skim Ponzi, katanya dalam satu pertemuan dengan BH di sini.

Ng berkata, syarikat pelaburan emas yang tulen tidak mengemukakan tawaran sedemikian, sebaliknya berurusniaga mengikut harga semasa di pasaran antarabangsa.

Pembeli perlu mendapat maklumat semasa yang boleh diperoleh daripada pelbagai sumber tulen sebelum membuat keputusan mendapatkan emas (untuk pelaburan), katanya.

Beliau mengulas mengenai ramai kalangan pelabur yang terperangkap dengan pelaburan emas apabila pihak berkuasa menyerbu dan membekukan aset beberapa syarikat pengendali dipercayai beroperasi seperti skim cepat kaya.

Awal bulan ini, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin dilaporkan berkata, Bank Negara mengesan 35,000 pelabur dengan jumlah pelaburan mencecah RM10 bilion dalam sebuah syarikat pelaburan jongkong emas.

Bank Negara Malaysia dalam kenyataannya pada awal Oktober lalu memberitahu membekukan aset dan akaun yang disita hasil serbuan dilakukan terhadap empat syarikat yang menawarkan skim pelaburan jongkong emas iaitu Genneva Malaysia Sdn Bhd, Pageantry Gold Bhd, Caesar Gold Sdn Bhd dan Worldwide Far East Bhd.

Public Gold ialah antara syarikat yang bergiat dalam perniagaan emas dengan kegiatan terasnya termasuk menempa dan menulen emas.

Ia juga menawarkan perkhidmatan dagangan dan tukaran emas serta menyediakan kemudahan simpanan selamat kepada pelanggan.

Syarikat itu yang beribu pejabat di Pulau Pinang, menerusi anak syarikatnya, Public Gold Marketing Sdn Bhd akhir bulan lalu dikeluarkan daripada senarai Peringatan Pengguna Bank Negara Malaysia selepas model perniagaannya didapati tulen serta tidak mengambil kesempatan ke atas pengguna.

Mengulas lanjut, Ng berkata, operasi perniagaan Public Gold hanyalah semata-mata dagangan jongkong emas dan perak bagi tujuan simpanan kekayaan.

Sejak ditubuhkan pada 2008, Public Gold komited menawarkan pelan simpanan emas fizikal yang selamat untuk masa depan.

Public Gold mengamalkan model perniagaan telus di mana kami hanya membeli dan menjual jongkong emas dan perak tanpa memberikan tawaran tidak realistik kepada pelanggan, katanya.

Sumber: Berita Harian

Kewangan Islam harus babitkan kumpulan berpendapatan rendah bagi pertumbuhan seimbang

Kewangan Islam harus babitkan kumpulan berpendapatan rendah bagi pertumbuhan seimbang

KUALA LUMPUR: Kewangan Islam harus bersifat merangkumi dan boleh dinikmati oleh semua, khususnya kumpulan berpendapatan rendah dan perniagaan kecil untuk mencapai pertumbuhan ekonomi global yang lebih seimbang dan mengurangkan jurang perbezaan pendapatan, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, hari ini.

Katanya, untuk mencapai matlamat ini, institusi kewangan Islam mesti berusaha untuk meningkatkan kemudahan mendapatkan perkhidmatan kewangan masing-masing kepada semua segmen masyarakat dengan memenuhi permintaan bagi lebih banyak produk mikro kewangan Islam.

"Dengan kemunculannya sebagai satu bidang khusus pasaran baharu, mikro kewangan Islam akan dapat memenuhi permintaan berbeza-beza daripada masyarakat berpendapatan rendah dan memberikan sokongan kepada kegiatan keusahawanan," katanya pada Kolokium Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa bagi Kewangan Islam (ISRA) kedua 2012.

Mikro kewangan Islam, jika disokong oleh mikro takaful, berpotensi untuk menyediakan penyelesaian perlindungan dan pembiayaan yang lebih menyeluruh, lestari dan mudah diperoleh bagi kumpulan berpendapatan rendah dan perniagaan kecil.

Zeti berkata Pelaburan Tanggungjawab Sosial (SRI) dijangka menjadi kelas aset arus perdana menjelang 2015, dengan aset yang diuruskan diunjurkan berjumlah lebih US$26 trilion, dan menguasai 15 hingga 20 peratus pasaran global.

Pertumbuhan ini didorong terutamanya oleh permintaan daripada pelabur-pelabur institusi yang semakin memberikan keutamaan kepada pertimbangan kelestarian dan tanggungjawab sosial dalam perniagaan dan sistem nilai institusi masing-masing.

"SRI telah mengetengahkan soal perlunya sistem kewangan dikaitkan kepada ekonomi dan perlunya dipertingkatkan tahap ketelusan, keadilan, etika dan tanggungjawab sosial dalam kewangan moden," tegas beliau.

Mengenai Portal Repositori Pengetahuan Kewangan Islam yang dilancarkannya hari ini, Zeti berkata ia boleh menyumbang ke arah memenuhi keperluan bagi penyebaran maklumat yang lebih cekap, yang akan menggalakkan peningkatan ketelusan pasaran, penemuan harga dan kefahaman tentang industri.

Sebagai sebuah pangkalan data pengetahuan, portal itu memusatkan ketetapan syariah dan justifikasinya, perundangan serta syarat-syarat kawal selia.

Ini diperkaya dengan koleksi penyelidikan dan pembangunan dalam kewangan Islam.

"Pangkalan data ini akan menjadi sumber rujukan dan panduan penting bagi pengamal syariah dan industri, pembuat dasar, penyelidik dan ahli akademik," kata Zeti, sambil menambah bahawa inisiatif ini bukan sahaja akan menggalakkan kefahaman yang lebih mendalam, malah juga rasa saling hormat dan pengiktirafan terhadap kewangan Islam.

- BERNAMA