Tuesday, 27 November 2012

Shell, PETRONAS bekerjasama

Shell, PETRONAS bekerjasama
Disediakan oleh Berita Harian


Shell Malaysia memeterai kontrak perkongsian pengeluaran baharu (PSC) dengan PETRONAS untuk meneroka lapangan luar pantai minyak dan gas Sarawak.

Syarikat minyak antarabangsa itu dalam kenyataannya semalam, berkata SK319 PSC akan menyaksikan Shell melaksanakan program cari gari awal selama tiga tahun bagi meneroka dengan menyeluruh kawasan seluas 2,727 kilometer persegi dalam blok SK319 di Central Luconia, luar pantai Sarawak.

Sarawak Shell Bhd adalah pengendali dan akan menjadi rakan kongsi Petronas Carigali dengan pecahan ekuiti penyertaan 50:50, katanya.

PSC baharu itu membentuk sebahagian daripada fokus cari gali dan pembangunan kos rendah Shell yang akan membolehkan syarikat itu melaksanakan kempen cari gali pelbagai telaga.

Pengerusi Shell Malaysia dan Pengarah Urusan Sarawak Shell, Iain Lo, berkata kejayaan pelaksanaan PSC baharu itu dan perjanjian operasi bersama menandakan satu lagi kejayaan penting bagi Shell di Malaysia selepas memeterai kontrak cari gali SK318 dan 2B bagi luar pantai Sarawak awal tahun ini.

“Ini adalah PSC operasi cari gali ketiga yang dimeterai Shell Malaysia pada 2012 ini dan menambah kepada bilangan cari gali Shell yang semakin bertambah di Malaysia,” katanya.

Sebagai pengendali PSC kepada PETRONAS, Shell adalah pengeluar gas terbesar di Malaysia, menyumbang 60 peratus daripada jumlah pengeluaran.

No comments:

Post a Comment