Showing posts with label PANDUAN BERNIAGA. Show all posts
Showing posts with label PANDUAN BERNIAGA. Show all posts

Sunday, 9 December 2012

Perusahaan Kecil Dan Sederhana

BERKERJA DARI RUMAH: Memulakan Perniagaan
Perusahaan Kecil Dan Sederhana


PENGENALAN KEPADA PERUSAHAAN KECIL DAN SEDERHANA
Institusi kewangan adalah penyumbang utama dana kepada perusahaan kecil dan sederhana di Malaysia.
Buku kecil ini berhasrat membantu perusahaan kecil dan sederhana dalam permohonan pinjaman mereka dengan memaparkan maklumat-maklumat tentang keperluan-keperluan lazim institusi kewangan dalam memberikan pinjaman.

PROSES PERMOHONAN PINJAMAN
Umumnya, proses permohonan pinjaman terdiri daripada tiga peringkat. Ia meliputi penyediaan pelan perniagaan, penyerahan permohonan pinjaman dan penilaian permohonan pinjaman.

PERINGKAT PERTAMA: PENYEDIAAN PELAN PERNIAGAAN
Maklumat mengenai syarikat anda adalah diperlukan sebelum institusi kewangan boleh membuat keputusan sama ada untuk meluluskan pinjaman anda. Ini adalah untuk memastikan pemprosesan permohonan pinjaman anda berjalan dengan cepat dan lancar. Bagi perusahaan kecil dan sederhana, ini akan melibatkan penyediaan pelan perniagaan.

Apakah Pelan Perniagaan?
Ia adalah rencana bertulis yang memaparkan wawasan anda dan bagaimana perniagaan anda akan diuruskan untuk menepati objektifnya.

Pelan perniagaan yang diolah dengan baik dan berstruktur seharusnya merangkumi dan memaparkan informasi perniagaan yang memang ingin diketahui oleh institusi kewangan. Pelan perniagaan hendaklah bersifat jelas, mudah dan ringkas.

Apakah Aspek Penting Pelan Perniagaan?
Aspek penting pelan perniagaan adalah:
  • Model perniagaan, produk/perkhidmatan, wawasan dan matlamat
  • Kedudukan syarikat masa kini, dalam konteks kewangan, pasaran dan pesaing (jika ada)
  • Faktor-faktor kritikal untuk kejayaan perniagaan
  • Keperluan pembiayaan
  • Tujuan-tujuan spesifik pinjaman dan bagaimana pinjaman boleh membantu perniagaan
Pelan perniagaan yang baik seharusnya mengandungi maklumat asas seperti berikut:
  • Pengenalan mengenai perniagaan anda
  • Carta organisasi dan struktur organisasi
  • Tujuan dan wawasan perniagaan
  • Perihal produk dan perkhidmatan
  • Analisis industri dan pesaing
  • Strategi perniagaan
  • Keperluan operasi
  • Strategi jualan dan pemasaran
  • Unjuran kewangan
by www.bankinginfo.com.my

Permohonan Pinjaman Untuk Memulakan Perniagaan

Memulakan Perniagaan: Soalan Yang Sering Ditanya Untuk Permohonan Pinjaman

1. Apakah maklumat yang perlu saya kemukakan kepada institusi kewangan untuk mendapatkan kemudahan kredit?

Kebanyakan institusi kewangan mempunyai senarai semak yang menyenaraikan dokumen-dokumen yang diperlukan. Sila bertanya kepada institusi kewangan yang berkenaan untuk mendapatkan senarai semaknya.

2. Bolehkah saya mendapat pembiayaan jika saya menceburkan diri dalam perniagaan buat pertama kali?

Institusi kewangan adalah dalam perniagaan menyediakan pembiayaan dan akan memberi pertimbangan untuk memberi pinjaman kepada sebarang perniagaan yang berdaya maju walaupun ianya adalah perniagaan yang baru. Namun demikian, institusi kewangan akan meneliti trek rekod syarikat berkenaan atau akaun peribadi pemohon apabila menyemak semula permohonan pinjaman.

3. Mengapakah institusi kewangan memerlukan pelan perniagaan? Siapa boleh membantu saya untuk menyediakan pelan perniagaan?

Melalui pelan perniagaan, institusi kewangan boleh mendapatkan maklumat berhubung dengan perniagaan peminjam seperti latar belakang peminjam dan industri, kedudukan kewangan peminjam, unjuran perniagaan peminjam, strategi perniagaan dan keperluan operasi peminjam. Anda boleh meminta bantuan bank perdagangan terlibat untuk menyediakan pelan perniagaan tersebut sekiranya anda mengalami kesukaran untuk menyediakannya. Hampir semua bank perdagangan mempunyai Unit Perusahaan Kecil dan Sederhana (IKS) yang berdedikasi. Unit ini ditubuhkan untuk menangani keperluan perusahaan kecil dan sederhana, termasuk memberi khidmat nasihat.

4. Adakah perlu saya mengemukakan pelan perniagaan kepada institusi kewangan bagi jumlah pinjaman yang kecil seperti pinjaman sebanyak RM10,000?

Keperluan pelan perniagaan bergantung kepada institusi kewangan terbabit. Anda harus merujuk kepada institusi kewangan anda mengenai perkara ini.

5. Adakah peluang perusahaan kecil dan sederhana untuk mendapatkan pinjaman daripada institusi kewangan akan berkurangan sekiranya tidak ada cagaran?

Tidak. Tujuan meminta cagaran adalah untuk memastikan bahawa peminjam komited untuk membayar balik pinjaman yang telah diambil. Kriteria utama yang digunakan oleh institusi kewangan untuk menaksir sesuatu permohonan pinjaman adalah daya maju perniagaan pemohon.

6. Bagaimana sekiranya institusi kewangan tetap inginkan cagaran?

Bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana yang berdaya maju dengan cagaran yang tidak mencukupi, Kerajaan telah menubuhkan Syarikat Jaminan Kredit untuk menyediakan jaminan bagi pinjaman yang diambil daripada institusi kewangan. Jaminan oleh Syarikat Jaminan Kredit ini akan menyokong cagaran yang mungkin berbeza di antara institusi kewangan. Buat masa ini, Syarikat Jaminan Kredit mengendalikan enam skim jaminan, yang mana butir-butir lanjut boleh didapati dengan melayari www.cgc.gov.my.

7. Apakah alasan-alasan institusi kewangan untuk menolak permohonan sesuatu pinjaman?

Alasan-alasan menolak permohonan kredit termasuk:
- Pemohon tidak mempunyai keupayaan untuk membayar balik kemudahan yang dipohon
- Tujuan pinjaman adalah tidak selaras dengan kemudahan yang dipohon
- Keputusan kewangan pemohon yang tidak memuaskan
- Pemohon mempunyai pinjaman luar yang banyak sehingga mengakibatkan penggearan yang tinggi (iaitu jumlah pinjaman adalah lebih tinggi daripada modal)
- Pengendalian akaun semasa yang tidak memuaskan oleh pemohon
- Rekod pembayaran balik yang kurang memuaskan dengan pemberi pinjaman yang lain
- Pemohon mempunyai kes yang sedang menunggu tindakan guaman
- Risiko perniagaan yang tinggi seperti terlalu bergantung kepada pembeli atau pembekal tunggal
- Kekurangan komitmen kewangan daripada pemilik perniagaan, iaitu tidak bersedia untuk menyumbang modal kerja tambahan
- Pengurusan yang lemah
- Empunya tunggal/perkongsian/pengarah-pengarah/pemegang-pemegang/penjamin dan sebagainya yang menghadapi tindakan kebankrapan daripada pihak lain

Satu keperluan Bank Negara Malaysia ialah institusi kewangan seharusnya memaklumkan keputusan kreditnya kepada peminjam secara formal dan bertulis, yang dengan jelas mengenal pasti bidang yang gagal dipenuhi oleh peminjam. Ini adalah untuk memastikan bahawa peminjam mengetahui alasan penolakan dan membantu peminjam memperbaiki kelemahan yang dikenal pasti sebelum mengemukakan permohonan pinjaman lain pada masa akan datang.

8. Bolehkah saya mengemukakan permohonan pinjaman kepada lebih daripada sebuah institusi kewangan?

Boleh. Walau bagaimanapun, anda mungkin akan dikenakan fi pemprosesan sekiranya anda menolak pinjaman tersebut setelah ia diluluskan.

9. Apa yang boleh saya lakukan sekiranya institusi kewangan menolak permohonan pinjaman saya?

Setiap institusi kewangan mempunyai satu set garis panduan kredit dan kriteria penilaian kredit masing-masing. Apabila institusi kewangan memaklumkan keputusannya dan alasan penolakan kepada anda, anda sepatutnya berhubung dengan institusi berkenaan untuk mengetahui apa yang anda boleh buat bagi membolehkan mereka mempertimbangkan semula permohonan anda dan selepas itu, mengambil tindakan yang sewajarnya untuk memenuhi keperluan institusi kewangan. Sebagai alternatif, anda boleh memohon pinjaman daripada institusi kewangan yang lain.

10. Bolehkah sesebuah institusi kewangan mengurangkan jumlah kemudahan kredit (seperti kemudahan overdraf, kemudahan perdagangan) yang dahulunya telah diberikan kepada saya?

Semua institusi kewangan menjalankan kajian semula berkala ke atas potfolio kredit dan berdasarkan kepada penilaian mereka, mungkin mengambil keputusan untuk mengurangkan pendedahan kredit kepada sebarang peminjam. Institusi kewangan boleh berbuat demikian atas beberapa sebab termasuk penggunaan kemudahan yang rendah (overdraf dan kemudahan perdagangan) atau pengendalian akaun yang tidak memuaskan (overdraf).

Hak ini biasanya dinyatakan di dalam surat tawaran atau dokumen-dokumen yang lain. Walau bagaimanapun, institusi-institusi kewangan biasanya akan memberi notis awal mengenai keputusan mereka untuk mengurangkan kemudahan kredit peminjam untuk membolehkan peminjam mencari kaedah alternatif. Walau apapun, institusi kewangan mungkin akan mempertimbangkan sebarang rayuan/permohonan daripada peminjam untuk mengembalikan kemudahan kredit ke tahap asal, sekiranya wajar.

11. Saya menghadapi masalah untuk membayar balik berdasarkan amaun ansuran sekarang tetapi saya mampu membayar ansuran yang lebih rendah. Apa yang perlu saya lakukan?

Anda boleh merujuk kepada institusi kewangan anda dan memohon penstrukturan atau penjadualan semula pinjaman anda. Ia biasanya dilakukan dalam bentuk bayaran bulanan yang lebih rendah dan memanjangkan tempoh bayaran pinjaman. Walau bagaimanapun, anda mesti memberikan kepada institusi kewangan anda maklumat lengkap mengenai kedudukan kewangan anda untuk membolehkan mereka membuat penilaian.

12. Di manakah boleh saya membuat aduan terhadap institusi kewangan saya?

Semua bank perdagangan dan syarikat kewangan telah dikehendaki oleh Bank Negara Malaysia untuk menubuhkan unit aduan di institusi masing-masing. Anda seharusnya cuba menyelesaikan aduan anda dengan institusi kewangan anda terlebih dahulu. Walau bagaimanapun, sekiranya anda masih tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan, anda boleh merujuk masalah anda kepada Bank Negara Malaysia. Untuk isu-isu berkaitan dengan pinjaman perniagaan oleh kaum Bumiputera, anda juga boleh merujuk kepada ERF Sdn. Bhd. (sebuah badan khas yang ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia sebagai pusat setempat untuk menangani isu-isu berkaitan pembiayaan Bumiputera).

13. Di manakah boleh saya mendapat khidmat nasihat kewangan berhubung dengan perniagaan saya?

Hampir semua bank perdagangan telah menubuhkan Unit Perusahaan Kecil dan Sederhana (IKS) yang menyediakan khidmat nasihat kewangan kepada perusahaan-perusahaan kecil dan sederhana.

Di samping itu, Bank Negara Malaysia telah menubuhkan Unit Khas IKS untuk membantu perusahaan-perusahaan kecil dan sederhana yang berdaya maju dengan membekalkan maklumat mengenai berbagai-bagai sumber pembiayaan yang ada, melancarkan proses permohonan pinjaman, menangani masalah yang dihadapi oleh perusahaan-perusahaan kecil dan sederhana untuk mendapat pinjaman daripada institusi-institusi kewangan dan menyediakan khidmat nasihat. Unit tersebut boleh dihubungi di:

Unit Khas IKS
Tingkat 4C
Bank Negara Malaysia
Jalan Dato' Onn
50480 Kuala Lumpur

14. Apakah fungsi ERF Sdn. Bhd.?

ERF Sdn. Bhd. adalah satu pusat setempat yang telah ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia untuk memberi pembiayaan dan khidmat nasihat kepada perusahaan-perusahaan kecil dan sederhana Bumiputera.

15. Bagaimanakah caranya untuk saya mendapatkan akses kepada tabung khas yang disediakan oleh Kerajaan/Bank Negara Malaysia?

Tabung khas yang disediakan oleh Kerajaan/Bank Negara Malaysia disalurkan kepada orang awam melalui institusi-institusi kewangan, atau secara kolektifnya dikenali sebagai institusi-institusi kewangan yang terlibat atau agensi-agensi yang dilantik oleh kerajaan. Kriteria dan objektif tabung khas termasuk kadar pinjaman ditentukan oleh Kerajaan/Bank Negara Malaysia, sekali gus mengawasi penggunaan tabung khas tersebut.

16. Apakah peranan yang dimainkan oleh institusi-institusi kewangan yang terlibat berkaitan dengan tabung khas?

Pada asasnya, peranan institusi-institusi kewangan yang terlibat adalah untuk menilai permohonan pinjaman dan menentukan kelayakan dan daya maju projek-projek yang akan dibiayai. Perusahaan Kecil dan Sederhana boleh menyerahkan permohonan pinjaman tabung khas melalui institusi-institusi kewangan yang terlibat yang berkenaan.

Meskipun pinjaman-pinjaman ini dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan/Bank Negara Malaysia, keputusan untuk meluluskan atau menolak permohonan pinjaman adalah tertakluk kepada penilaian institusi kewangan yang terlibat yang berkenaan. Ini adalah kerana risiko kredit akan ditanggung oleh institusi kewangan yang terlibat yang berkenaan. Di samping itu, institusi-institusi kewangan yang terlibat akan mengawasi pembayaran balik daripada peminjam-peminjam.

17. Adakah borang-borang tertentu yang perlu diisi untuk membuat permohonan tabung khas?

Tidak. Kerajaan/Bank Negara Malaysia tidak menyediakan borang tertentu untuk permohonan tabung khas. Pemohon boleh menggunakan borang-borang yang disediakan oleh institusi-institusi kewangan yang terlibat.

18. Bagaimana kalau pemohon tidak memenuhi syarat-syarat cagaran yang dikenakan oleh institusi-institusi kewangan yang terlibat?

Keperluan cagaran adalah berdasarkan penilaian kredit dan profil risiko pemohon. Kriteria utama ialah daya maju sesuatu projek. Antara faktor-faktor lain yang turut diambil kira adalah karektor dan integriti pemohon, keupayaan untuk membayar balik pinjaman, komitmen modal dan keadaan perniagaan. Institusi-institusi kewangan yang terlibat juga boleh menolak permohonan jika permohonan tersebut tidak mengandungi maklumat yang cukup bagi membolehkan penilaian kredit dibuat. Untuk membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana, Syarikat Jaminan Kredit juga mempunyai beberapa skim jaminan kredit untuk manfaat pemohon-pemohon yang tiada cagaran atau mempunyai cagaran yang tidak mencukupi.

19. Memandangkan tabung khas ini disediakan oleh Kerajaan/Bank Negara Malaysia, adakah pelanggan diwajibkan membayar balik pinjaman tersebut?

Pelanggan (peminjam) adalah terikat dengan perjanjian pinjaman yang mereka tandatangani. Ini dianggap penting khususnya bagi membolehkan Kerajaan/Bank Negara Malaysia untuk meneruskan program bantuannya kepada pemohon- pemohon yang layak memandangkan saiz tabung akan berkurangan jika peminjam-peminjam gagal membayar balik pinjaman. Peminjam akan menandatangani dokumen perjanjian pinjaman di mana semua syarat-syarat dinyatakan termasuk tindakan-tindakan yang akan diambil oleh institusi-institusi kewangan yang terlibat jika peminjam mungkir.

20. Bolehkah saya memohon pinjaman yang baru jika pinjaman sedia ada telah diklasifikasikan sebagai pinjaman tidak berbayar?

Rekod kredit yang negatif boleh menjejaskan penilaian kredit pemohon. Anda patut membincang hal ini dengan institusi kewangan berkenaan dan merumuskan satu skim pembayaran balik dengan institusi kewangan berkenaan. Setelah akaun anda dikemaskinikan, rekod kredit anda akan mencerminkan keadaan yang lebih baik.

21. Mengapa institusi-institusi kewangan menghendaki penyata-penyata kewangan untuk tiga tahun?

Institusi-institusi kewangan biasanya akan meminta penyata-penyata kewangan untuk tiga tahun bagi membolehkan mereka membuat perbandingan dalam menentukan trend perkembangan perniagaan untuk menilai keupayaan peminjam membuat pembayaran balik.

by www.bankinginfo.com.my

Bagaimana Mahu Memulakan Perniagaan

Mengetahui Cara-Cara Memulakan Perniagaan
Faktor-faktor Yang Dipertimbangkan Apabila Memulakan Perniagaan

Modal perniagaan
Usahawan mesti mempunyai modal yang cukup untuk memulakan dan menjalankan perniagaan.

Jumlah modal yang diperlukan bergantung kepada saiz dan jenis perniagaan, lokasi perniagaan, dan jumlah kredit yang hendak diberikan kepada para pelanggan.

Modal boleh datang daripada simpanan sendiri atau pinjaman daripada sahabat handai atau sanak saudara ataupun dari bank. Bagi mendapatkan pinjaman bank, satu kertas kerja perlu disediakan untuk meyakinkan pihak bank tentang kemampuan membayar balik pinjaman.

Lokasi (Tempat Perniagaan)
Usahawan mesti bijak memilih lokasi yang strategik atau sesuai bagi menjamin kejayaan perniagaan. Perniagaan harus diletakkan di tempat yang mempunyai daya kuasa beli yang tinggi dan kurang persaingan.

Pemilihan lokasi juga boleh dipengaruhi oleh faktor-faktor lain seperti modal, kos sewa, persaingan, kemudahan infrastruktur, undang-undang dan lain-lain.

Minat, pengetahuan dan pengalaman dalam perniagaan
Usahawan mesti mempunyai minat dalam perniagaan. Minat itu mestilah berkekalan dan bukan sekadar sementara waktu sahaja. Jika tidak, perniagaannya susah untuk dijalankan.

Usahawan juga perlu mempunyai pengetahuan dan pengalaman dalam bidang perniagaan yang akan diceburinya. Contohnya, jika dia hendak membuka kedai pakaian, dia mesti tahu dari mana untuk mendapatkan stok pakaian itu.

Usahawan juga harus memperoleh pengetahuan dan pengalaman mengenai selok-belok pengurusan, mengurus wang, stok, masa, melayan pelanggan, menyimpan rekod dan akaun- serta lain-lain lagi.

Pengalaman boleh diperoleh dengan cara bekerja, sebagai pembantu dalam bidang perniagaan yang berkenaan.

Pengetahuan boleh diperoleh dengan belajar di sekolah, maktab atau universiti, membaca buku-buku yang berkenaan, mengikut kursus perniagaan, bertanya, berbincang dan memerhati peniaga-peniaga lain menjalankan perniagaan mereka.


Jenis dan saiz perniagaan

Usahawan mesti menentukan jenis dan saiz perniagaan yang hendak dijalankan. Jenis perniagaan hendaklah bersesuaian dengan kebolehan, pengetahuan dan pengalamannya.

Saiz perniagaan hendaklah juga bersesuaian dengan modal yang ada, kebolehan, pengalaman dan pengetahuan untuk mengawal dan mengurus perniagaan itu. Saiz perniagaan yang kecil mudah dimulakan serta diurus. Perniagaan secara besar-besaran memerlukan modal yang besar dan tidak begitu mudah dikendalikan.

Persaingan perniagaan

Usahawan juga mesti memikirkan tentang persaingan yang akan dihadapinya. Kajian perlu dibuat untuk mengenal pasti pesaing-pesaing, bilangannya, saiz perniagaan mereka, kekuatan dan kelemahan mereka dan sambutan para pelanggan terhadap perniagaan mereka.

Membuka perniagaan di tempat yang banyak mempunyai persaingan tentu tidak akan dapat menarik ramai pelanggan pada mulanya. Tetapi jika usahawan dapat memberi layanan yang lebih baik, pelbagai pilihan barang, harga yang berpatutan dan perkhidmatan selepas jualan yang memuaskan banyak pelanggan akan tertarik untuk kekedainya.

Bagaimanapun usahawan perlu mengadakan rancangan dan ikhtiar yang rapi dan bernas untuk mengatasi para pesaing.

Undang-undang perniagaan dan peraturan perniagaan
Usahawan mesti mengetahui undang-undang, peraturan-peraturan serta akta-akta yang mengawal perjalanan perniagaan dalam negara kita agar tidak melanggar undang-undang, peraturan, atau akta yang boleh menghalang perjalanan perniagaan.

Pihak berkuasa tempatan seperti Majlis Tempatan, Majlis Bandaran atau Dewan Bandar Raya telah menetapkan jenis-jenis perniagaan yang boleh dijalankan di kawasan-kawasan tertentu serta jenis lesen yang diperlukan. Usahawan mestilah mengikut peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan.

Di samping itu, semua perniagaan mesti didaftarkan dengan pihak-pihak tertentu kecuali penjaja bergerai yanng hanya perlu mendapatkan lesen menjaja daripada pihak berkuasa tempatan.

Usahawan juga mesti mematuhi berbagi-bagai akta seperti Akta Perihal Dagangan, Akta Kawalan Harga, Akta Kawalan Bekalan dan lain-lain.

Sumber bekalan
  • Usahawan perlu mengetahui tempat-tempat di mana ia mendapat bekalan barang-barang dengan seberapa murah dan mudah.
  • Usahawan harus tahu pembekal mana yang dapat menawarkan diskaun dan kredit yang lebih baik.
Memulakan Sendiri Perniagaan
Seseorang boleh memulakan perniagaan sendiri jika ia mempunyai keyakinan dan kebolehan tentu ia akan berjaya. Untuk memulakan perniagaan sendiri, ia hanya perlu memastikan kewujudan perkara-perkara berikut :-
  • Pengalaman dan pengetahuan
  • Minat yang berterusan
  • Modal yang mencukupi
  • Punca bekalannya
  • Peraturan dan undang-undang tempatan
  • Jenis perniagaan yang ingin dijalankan

Lokasi perniagaan
Ramai pelanggan dan usahawan yang berjaya pada hari ini telah memulakan kegiatan perniagaan dengan sendiri.

Ambil Alih Perniagaan

Satu lagi cara untuk memulakan perniagaan ialah dengan mengambil alih atau bergabung. Ia bermaksud sebuah perniagaan yang sedang maju membeli atau bergabung dengan sebuah perniagaan yang lain dan mengambil alih pengurusannya. Di sini perkembangan perniagaan berlaku dengan cepat.

Apabila seseorang peniaga mengambil alih atau bergabung dengan sesuatu perniagaan, ia seharusnya menggunakan pengalaman dan pengetahuannya untuk :-
  • merundingkan harga yang terbaik
  • mendapatkan syarat-syarat bergabung atau ambil alih yang baik dari penjual.

Faktor-faktor yang dipertimbangkan apabila mengambil alih perniagaan :-

Kewangan perniagaan

Pada asasnya proses mengambil alih perniagaan lain perlulah mengambil kira langkah-langkah seperti membuat kajian awal untuk menilai kedudukan kewangan dan kadar keuntungan di samping meneliti dan memeriksa setiap butir kewangan yang disediakan oleh pemilik. Ia bertujuan memastikan kewangan perniagaan yang diambil adalah kukuh. Kajian juga termasuk mengkaji aset perniagaan yang ada seperti premis, lengkapan dan perabot agar mempunyai nilai semasa yang baik. Di samping itu, liabiliti perniagaan seperti pinjaman dan pemiutang juga perlu diketahui agar tidak menanggung beban hutang yang tinggi.

Faedah perniagaan yang dinikmati
Kajian tentang kelebihan-kelebihan yang boleh didapati jika mengambil alih perniagaan tersebut juga perlu diambilkira, umpamanya dapat memiliki teknologi dan kepakaran yang ada. Begitu juga dengan aset seperti tanah dan bangunan yang boleh dimajukan untuk perkembangan masa hadapan. Bahagian pasaran yang telah dikuasai turut dinikmati dan pelanggan perniagaan dapat dikuasai.


Masalah perniagaan yang dihadapi
Masalah-masalah yang dihadapi oleh perniagaan tersebut yang menyebabkan pemiliknya ingin menjualnya juga harus diambilkira untuk dikaji. Ini bertujuan supaya kita dapat menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi dan menjadikannya sebuah perniagaan yang menguntungkan. Contohnya, jika perniagaan tersebut menghadapi persaingan yang hebat, kenalpasti pesaing tersebut dan kaji kelemahan yang ada untuk mengatasi persaingan.

Potensi perniagaan berkembang
Masa hadapan perniagaan tersebut hendaklah dikaji samada ianya berpotensi untuk berkembang maju lagi. Kajian masa hadapan ini boleh dilakukan dengan melihat statistik-statistik serta keadaan pasaran semasa. Umpamanya, perkhidmatan bas mini di kawasan Shah Alam diadakan berdasarkan kepada banyaknya kawasan perumahan dan perindustrian yang telah didirikan di mana terdapatnya banyak permintaan untuk perkhidmatan tersebut. Beberapa tahun yang lepas ia tidak diadakan kerana perkembangan dan pembangunan kawasan tersebut masih dalam perancangan.

Persaingan perniagaan yang akan dihadapi

Persaingan yang akan dihadapi juga diambil kira. Buat kajian dan kenalpasti pesaing yang wujud. Kaji kelemahan dan kekuatan pesaing tersebut supaya kita boleh mengatur rancangan atau strategi untuk mengatasinya. Contohnya, jika pesaing mempunyai kepakaran tertentu, cuba pelajari kepakaran tersebut atau dapatkan kepakaran orang lain sebagai rakan kongsi atau diambil sebagai rakan kongsi atau diambil bekerja.

Minat berniaga dan kecenderungan berniaga yang ada
Minat dan kecenderungan semula jadi perlu ada apabila ingin mengambil alih perniagaan. Tanpa minat dan kecenderungan ini, sudah tentu apa yang dilakukan nanti tidak sampai ketahap yang dikehendaki. Minat dan kecenderungan merupakan asas bagi memulakan sesuatu perniagaan, oleh itu pastikan ianya wujud di hati kita.

Warisan
Ada juga perniagaan yang diwarisi daripada ibubapa, nenek moyangnya, atau warisan keluarga.
Jenis perniagaan ini biasanya kukuh dan telah lama wujud dalam perniagaan.

Diundang
Diundang bermaksud perniagaan yang kekal dan sudah wujud mengundang seseorang @ sesebuah syarikat untuk menjadi rakan kongsi @ bergabung dengan syarikat induk. Individu @ syarikat ini diundang kerana potensi yang ada padanya dan prestasi individu tersebut @ syarikat tersebut amat baik.

Sumber: www.min.com.my