Thursday, 29 November 2012

KL Eco City raih jualan RM2.5b

KL Eco City (SP Setia) Cecah Jualan RM2.5 Bilion
Disediakan oleh Berita Harian


KL Eco City, projek hartanah yang dimajukan oleh SP Setia Bhd mendapat sambutan memberangsangkan apabila meraih jualan fasa pertamanya mencecah RM2.5 bilion.

Nilai berkenaan dicatat dalam tempoh hanya setahun selepas ia dilancarkan.

Projek pembangunan hartanah hijau bersepadu pertama di Kuala Lumpur dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM6 bilion itu dimajukan dalam empat fasa yang dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh 10 tahun lagi.

Ia dimajukan di kawasan seluas 9.6 hektar di bekas penempatan Kampung Abdullah Hukum sepanjang Jalan Bangsar yang bertentangan dengan pusat beli-belah Mid Valley City.

Fasa pertama terdiri daripada pembangunan lot kondominium, pejabat strata dan pejabat butik dilengkapi dengan menara kediaman yang menjadi mercu tanda kawasan itu, dikenali sebagai Vogue Suites One.

Presiden dan Ketua Eksekutif SP Setia, Tan Sri Liew Kee Sin, berkata 90 peratus unit lot kondominium dalam fasa pertama KL Eco City dijual dalam tempoh setahun selepas pelancaran projek itu.

Sementara itu, katanya lot pejabat strata habis dijual manakala lapan daripada 12 unit pejabat butik kepada pembeli berjaya dijual.

“Pembeli adalah dari dalam dan luar negara, namun nisbah pembeli tempatan melebihi pembeli asing,” katanya kepada media selepas melancarkan pejabat jualan antarabangsa SP Setia dikenali sebagai Pusat Antarabangsa Setia (SIC) di tapak pemba-ngunan KL Eco City, di Kuala Lumpur, semalam.

SIC akan menjadi galeri hartanah antarabangsa sehenti SP Setia yang mempamerkan barisan projek yang dibangunkannya di dalam dan luar negara kepada pembeli tempatan dan asing.

Pusat itu juga menjadi satu-satunya galeri hartanah SP Setia yang mempamerkan projek pembangunan mega bercampur syarikat itu di London, Battersea Power Station.

Pelancarannya disempurnakan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Yang hadir sama ialah Pengerusi SP Setia, Tun Zaki Azmi.

No comments:

Post a Comment