Thursday, 29 November 2012

RHBCap muktamad beli bank PT Bank Mestika Dharma Indonesia Jun 2013

RHBCap muktamad beli bank PT Bank Mestika Dharma Indonesia Jun 2013
Disediakan oleh Berita Harian


RHB Capital Bhd (RHBCap) dijadual memuktamadkan pembelian 40 peratus kepentingan bank Indonesia, PT Bank Mestika Dharma pada Jun tahun depan.

Ia dibuat selepas rundingan pembelian pegangan ekuiti bank Indonesia itu berlanjutan selama tiga tahun.

Cadangan pembelian itu bermula sejak Oktober 2009, apabila RHBCap mengemukakan tawaran membeli 80 peratus kepentingan bank beribu pejabat di Medan itu dalam urus niaga bernilai RM1.16 bilion.

Urus niaga itu tertangguh beberapa kali dan peraturan baru di Indonesia pertengahan tahun ini mengehadkan pemilikan tunggal bank republik itu pada 40 peratus.

Bagaimanapun, RHBCap sedia meneruskan cadangan pembelian itu bagi membolehkannya mengukuhkan kedudukan di pasaran perbankan Asia Tenggara.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Kellee Kam, berkata kumpulan perbankan keempat terbesar tempatan itu kini dalam peringkat akhir rundingan dengan pihak berkuasa berkaitan serta vendor di republik berkenaan.

“Sasaran dalaman kami adalah pada Jun 2013, seperti yang digariskan dalam peraturan ditetapkan. Peringkat perbincangan semakin hampir (diselesaikan) yang membolehkan kami mengumumkan butiran lanjut sebelum akhir bulan ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis prapelancaran sambutan ulang tahun ke-100 RHB Banking Group di Kuala Lumpur, semalam.

Pelancaran disempurnakan Pengerusi RHB Bank, Tan Sri Azlan Zainol dan barisan kepemimpinan kanan Kumpulan RHB.

Dalam perkembangan berkaitan, Kam berkata, penyelesaian pengambilalihan OSK Investment Bank Group awal bulan ini, akan memberi kesan menyeluruh kepada operasi kumpulan dari segi penawaran produk serta asas geografi.

Beliau berkata, pengambilalihan OSK akan membolehkan syarikat itu menembusi tujuh daripada 10 pasaran ASEAN, di samping Hong Kong.

“Pembelian ini membantu kami membina platform yang benar-benar bersifat serantau, di samping menggandakan sumbangan pasaran luar negara kami kepada pendapatan daripada empat peratus sekarang kepada kira-kira lapan peratus.

“Ini bertepatan sasaran kumpulan meningkatkan sumbangan pendapatan luar negara kepada 40 peratus pada 2020,” katanya sambil menjelaskan pembelian OSK menjadikannya bank pelaburan terbesar negara ini berdasarkan nilai aset.

RHB, yang akan menyambut ulang tahun ke-100 pada 15 Julai 2013 melancarkan beberapa siri acara dan aktiviti sepanjang tahun bagi meraikan penubuhan jubli intannya itu.

Sejarah kumpulan perbankan itu bermula pada 15 Julai 1913 menerusi penubuhan The Kwong Yik Banking Corporation Ltd, iaitu bank tempatan pertama negara ini yang ditubuhkan sekumpulan komuniti Cina diterajui Wong Loke Yew.

No comments:

Post a Comment