Thursday, 29 November 2012

Proton Preve dan Exora Prime Dijual Di Thailand

PROTON lancar dua model baru di Thailand: Proton Preve dan Proton Exora Prime
Disediakan oleh Berita Harian


Perkukuh jenama dalam pasaran automotif

Bangkok: PROTON Holdings Bhd melancarkan dua model baru untuk pasaran Thailand, Preve dan Exora Prime bagi mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai antara 10 pengeluar kereta utama di negara itu.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Lukman Ibrahim, kedua-dua model berkenaan menetapkan tahap standard baru kenderaan PROTON merangkumi pelbagai aspek utama termasuk keselamatan, prestasi, keselesaan, kualiti binaan, rekaan dan penampilan keseluruhan.

Kami melihat pasaran Thailand sangat penting dan strategik untuk menguji kemampuan menjadi pengeluar kereta global yang kompetitif" - Lukman Ibrahim, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON Holdings

Beliau berkata, Thailand antara pasaran automotif berdaya saing menjadi medan ujian terbaik bagi PROTON dalam laluannya menjadi pengeluar kereta global yang terkemuka, dipercayai, digemari dan berdaya saing.

“Kami melihat pasaran Thailand sangat penting dan strategik untuk menguji kemampuan menjadi pengeluar kereta global yang kompetitif.

“Di sini (Thailand), kami perlu bersaing bukan saja daripada aspek kualiti malah khidmat selepas jualan,” katanya kepada media Malaysia selepas majlis pelancaran dua model itu di Expo Motor Antarabangsa Thailand 2012, di sini semalam.

Hadir sama, Duta Besar Malaysia di Bangkok, Datuk Nazirah Hussain dan Pengarah Urusan Phranakorn Auto Sales, Thawatchai Jungsanguanpornsuk.

Phranakorn Auto Sales adalah pengedar tunggal kereta PROTON di Thailand.

Sambutan menggalakkan

Mengulas lanjut, Lukman berkata, syarikat yakin kedua-dua model berkenaan akan mendapat sambutan menggalakkan warga Thailand, tambahan pula Exora sudah menjadi kereta pelbagai guna (MPV) enam tempat duduk paling popular sejak dilancarkan pada 2009, sementara Preve adalah kereta global yang dijual pada harga berpatutan.

“Berikutan sambutan hangat daripada pembeli Thailand terhadap Exora sebelum ini, kami yakin pelancaran varian terbaru, Exora Prime akan mengukuhkan lagi jenama PROTON dalam pasaran automotif Thailand.

“Pelancaran Preve pula akan terus membantu kami mengekalkan kedudukan sebagai antara 10 pengeluar kereta penumpang utama di negara ini,” katanya.

Bagi mengukuhkan jualan dan kehadiran di negara gajah putih itu, PROTON merancang meningkatkan jumlah rangkaian pengedar di Thailand kepada 35 tahun depan daripada 31 sekarang.

Tempahan sudah dibuka

Seiring dengan pelancaran itu, tempahan belian untuk model berkenaan sudah dibuka dan PROTON mengunjurkan jualan masing-masing 100 dan 120 unit sebulan bagi model Preve dan Exora Prime.

PROTON Preve di Thailand dijual bermula daripada THB625,000 (RM62,125) sementara Exora Prime pula pada THB919,000 (RM91,348).

Exora Prime adalah varian eksklusif MPV enam tempat duduk yang dilengkapkan dengan enjin 1.6 liter turbo yang menghasilkan kuasa sepadan kereta 2.0 liter.

Enjin berkuasa itu disepadukan pula dengan kotak gear automatik tujuh kelajuan CVT yang menterjemahkan pemanduan lancar, berkuasa tetapi menjimatkan minyak.

Sementara itu, mengulas mengenai prestasi jualan Preve dan Exora yang baru dilancarkan di Australia bulan lalu, Lukman berkata, setakat ini sambutan yang diterima di pasaran berkenaan sangat menggalakkan dan PROTON menyasar menjual 300 unit sebulan.

Serentak dengan itu, PROTON turut mengunjurkan jumlah eksport kenderaannya akan mencecah 14,000 unit tahun ini dan 20,000 unit tahun depan.

No comments:

Post a Comment