Thursday, 29 November 2012

Bursa Malaysia ditutup tinggi

Ulasan Pasaran: Bursa Malaysia ditutup tinggi
Disediakan oleh Berita Harian


Saham telco, perbankan dorong FBM KLCI naik 8.35 mata

Harga saham di Bursa Malaysia ditutup tinggi semalam yang didahului oleh saham telco dan saham perbankan utama berwajaran tinggi, kata seorang peniaga.

Sehingga jam 5.30 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 8.35 mata kepada 1,606.52, selepas dibuka turun 5.34 mata kepada 1,592.83.

Indeks pengukur pasaran itu bergerak antara 1,590.67 dan 1,607.22 semasa dagangan hari ini.

Ketua Penyelidik Mercury Securities Edmund Tham berkata para pelabur menjangka keputusan kewangan telco yang baik yang akan mengumumkan keputusan sukuan masing-masing tidak lama lagi.

Axiata meningkat 25 sen kepada RM5.87, Maxis dan Telekom Malaysia naik 13 sen setiap satu masing-masing kepada RM6.50 dan RM5.50 dan Digi menambah 20 sen kepada RM4.75.

Edmund berkata pasaran di dominasi oleh dana institusi tempatan di tengah-tengah kurang penyertaan dari para pelabur runcit.

"Dana tempatan menguasai 50-60 peratus daripada transaksi hari ini," katanya kepada Bernama.

Kaunter rugi mengatasi sedikit kaunter untung sebanyak 358 kepada 343 manakala 333 kaunter tidak berubah, 630 tidak diniagakan dan 45 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 1.2 bilion saham bernilai RM1.93 bilion berbanding 1.14 bilion saham bernilai RM1.67 bilion yang dicatatkan kelmarin.

Indeks Kewangan meningkat 45.17 mata kepada 14,932.11 dan Indeks Perladangan meningkat 69.53 mata kepada 7,936.75 manakala Indeks Perusahaan turun 37.46 mata kepada 2,643.84.

Indeks FBM Ace turun 1.62 mata kepada 4,190.38 manakala Indeks FBM Emas mengukuh 51.54 mata kepada 10,943.33 dan Indeks FBMT100 mengukuh 52.4 mata kepada 10,790.28. Indeks FBM Mid 70 meningkat 40.85 mata kepada 11,963.67.

Di kalangan kaunter aktif, Malaysia Airlines turun 17 sen kepada 84 sen, Hiap Huat rugi 2.0 sen kepada 20 sen dan Tiger Synergy menambah 5.5 sen kepada 38.5 sen manakala SAAG dan Scomi-WA tidak berubah masing-masing pada harga 0.5 sen setiap satu.

Bagi saham berwajaran tinggi, Maybank menambah 2.0 sen kepada RM9.04, CIMB meningkat 4.0 sen kepada RM7.54 dan Public Bank meningkat 6.0 sen kepada RM15.44.

Sime Darby turun 25 sen kepada RM9 dan Petronas Chemicals turun 9.0 sen kepada RM6.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 963.26 juta saham bernilai RM1.9 bilion berbanding 863.48 juta saham bernilai RM1.63 bilion pada Selasa.

Perolehan di Pasaran ACE turun kepada 124.82 juta saham bernilai RM21.86 juta daripada 202.97 juta saham bernilai RM34.11 juta sebelum ini.

Waran meningkat kepada 117.53 juta unit bernilai RM52.35 juta daripada 55.70 juta unit bernilai RM3.21 juta. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment