Tuesday, 27 November 2012

Dagangan negara diunjur kekal di atas RM1 trilion

Dagangan negara diunjur kekal di atas RM1 trilion
Berita Harian


Jumlah perdagangan negara diunjurkan kekal di atas RM1 trilion tahun ini, paras yang dinikmati negara sejak 2006, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Mukhriz Mahathir.

Beliau berkata, keyakinan itu berdasarkan angka perdagangan yang masih memberangsangkan sungguhpun pada suku ketiga 2012 menampakkan sedikit penurunan.

Jelasnya, penurunan pada suku ketiga bukanlah sesuatu yang mencerminkan arah aliran semasa kerana turun naik jumlah perdagangan dalam satu-satu suku itu adalah kebiasaan.

Kita tidak perlu bimbang jika berlaku penurunan dalam satu-satu suku itu kerana ia bukan mencerminkan arah aliran semasa," Mukhriz Mahathir, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri

“Kita tidak perlu bimbang jika berlaku penurunan dalam satu-satu suku itu kerana ia bukan mencerminkan arah aliran semasa.

“Jika kejatuhan berlaku dalam tiga atau empat suku barulah ia dianggap sebagai satu arah aliran,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Peniaga Muda Asia Pasifik 2012 (APYBC 2012) di Kuala Lumpur, semalam. Hadir sama, Presiden Pertubuhan Usahawan Muda Malaysia (GMB), Agil Faisal Ahmad Fadzil.

Mukhriz berkata, berikutan pasaran perdagangan tradisi Malaysia berkemungkinan berdepan masalah disebabkan persekitaran ekonomi global semasa yang tidak kondusif, pendekatan diambil negara ialah meneroka pasaran baru seperti Asia Barat dan ASEAN sendiri, sekali gus membantu mengimbangi penurunan.

Beliau berkata, Malaysia mencatat jumlah perdagangan melepasi paras RM1 trilion sejak 2006 dan hanya setahun iaitu pada 2009 yang mana jumlahnya di bawah paras RM1 trilion, iaitu sebanyak RM980 bilion.

“Saya optimistik bahawa jumlah perdagangan negara akan terus berada pada tahap yang telah kita capai sejak 2006, iaitu mencecah RM1 trilion.

“Pada 2011 kita mencatatkan jumlah perdagangan bernilai RM1.26 trilion, dan bagi tahun ini kita yakin sasaran RM1 trilion itu akan terus di lewati. Kita menuju ke arah itu,” katanya.

Jumlah perdagangan negara bagi Ogos tahun ini jatuh kepada RM104.84 bilion berbanding RM106.17 bilion bulan sama tahun sebelumnya.

Perangkaan dikeluarkan Jabatan Perangkaan Negara menunjukkan imbangan perdagangan negara bagi September 2012 susut kepada RM6.470 trilion (RM6,470.66 bilion) berbanding RM7.089 trilion (RM7,088.78 bilion) pada Ogos 2012.

Berdasarkan rekod sebelum ini dari 1970 hingga 2012, purata imbangan perdagangan Malaysia ialah sebanyak RM2.768 trilion (RM2,768.69 bilion) mencapai paras tertinggi RM1.576 trilion (RM1,5767.47 bilion) pada Mei 2008 dan terendah pada -RM2.88 trilion (-RM2,880.61 bilion) pada Jun 1997.

Imbangan perdagangan adalah perbezaan dalam nilai monetari antara eksport dan import untuk tempoh tertentu.

No comments:

Post a Comment